Kisah Seram aku - Bahagian #3

in kisahseram •  7 years ago 

Ini adalah sambungan kepada Kisah Seram aku - Bahagian #2 Link

Bahagian Ketiga

image.png
Sumber Gambar


Sambungan Hari Ahad

Selepas melihat kawasan tunggul pokok tu, aku dan arwah ayah pulang ke rumah. Kami hanya mampu membuat andaian sahaja.

Mungkin betul apa yang kami fikirkan. Mungkin tidak...

Sampai di rumah, arwah ayah menceritakan tentang tunggul pokok kepada pakcik. Dia cuma mengangguk dan tidak berkata apa-apa. Kebetulan waktu Maghrib sudah hampir masuk, kami semua berjemaah di ruang tamu.

Pakcik sebagai iman, dan kami yang lain-lain sebagai makmum. Adik aku yang kedua tidak dapat ikut solat, kerana sedang uzur. Jadi dia menemani adik aku yang bongsu.

Sedang kami solat, aku terdengar adik aku yang bongsu menangis. Kami biarkan saja, lagipun sudah memasuki rakaat terakhir. Selesai solat, arwah ayah tanya kepada adik, kenapa dia menangis. Adik yang bongsu berkata dia nampak bayang hitam di dapur, dan dia menangis kerana ketakutan.

Seperti malam sebelum, mak, adik-adik & kakak saudara aku disuruh duduk di ruang tamu. Aku , arwah ayah, pakcik & suami kakak saudara berada dalam bilik.

Juga seperti malam sebelum, pakcik aku membuka tingkap bilik dan memanggil ketua makhluk halus. Berkali-kali pakcik aku memanggil. tetapi malam tu tiada apa-apa respon.

Hampi satu jam kami menunggu, tetapi tetap tiada respon. Aku dari duduk, kemudian baring, berdiri, kerana bosan tiada apa-apa yang terjadi.

"Mungkin bukan malam nie", kata pakcik aku. Perasaan aku waktu tu bercampur geram dan hampa,.

"Takpelah, malam esok kita cuba lagi", kata pakcik aku sambil melangkah keluar dari bilik, dan menuju ke ruang tamu.

Di ruang tamu, aku tengok adik-adik aku dua-dua sudah tidur. Cuma mak & kakak saudara aku saja yang masih berjaga. Aku dan pakcik aku duduk bersila di ruang antara ruang tamu dan bilik. Arwah ayah & suami kakak saudara aku duduk bersandar di dinding bersebelahan bilik adik--adik aku.

Pakcik aku beritahu dia akan ambil cuti untuk dua hari. Bermakna hari Isnin dan Selasa pakcik aku akan tinggal lagi di rumah aku.

Kakak saudara & suaminya akan datang semula pada sebelah malam. Kerana mereka bekerja di sebelah siang. Tapi arwah ayah kata tak perlulah mereka datang lagi esok. Tak mahu susahkan mereka.

"Takde apalah Pak Anjang, Achik datang nak teman Mak Anjang dengan adik-adik perempuan", kata kakak saudara aku. Di kalangan saudara-mara, mak & arwah ayah dipanggil Mak Anjang & Pak Anjang.

"Aku kata tak payah datang, tak payahlah datang", kata arwah ayah seakan akan marah. Tangan dia menggengam penumbuk.

Aku agak terkejut dengan apa yang arwah ayah aku kata. Lain macam arwah ayah aku. Aku terasa seperti menghadap orang lain.

"Aku dah agak, saja aku senyapkan diri tadi", pakcik aku membalas kata-kata arwah ayah aku. Pakcik aku terus menyuruh aku dan suami kakak saudara aku untuk rapat dengan arwah ayah.

"Hehehehehehehe, kau saja senyap, atau memang tak tahu. Lagak guru handal konon,", kata arwah ayah sambil ketawa halus.

Ya Allah...ternyata bukan arwah ayah aku yang tengah bercakap. Aku tak perasan langsung akan perubahan pada arwah ayah aku. Meremang bulu roma aku bila mendengar ketawa arwah ayah aku

"Aku tahu rumah korang semua di pokok lama hujung rumah ni. Pokok tu sudah ditebang. Tapi bukan keluarga ini yang tebang. Kenapa diganggu mereka?", tanya pakcik aku.

"Hehehehehehehehehe, kalau kau hebat, halaulah kami", jelas sekali makhlus halus tu mencabar pakcik aku.

Tanpa berkata apa-apa, aku dengar pakcik aku mula membaca ayat-ayat Al-Quran. Surah yang mana, aku tak pasti. Cuma semakin lama, semakin kuat makhluk halus yang merasuki arwah ayah aku ketawa.

Pakcik aku perkuatkan bacaan dia. Setelah beberapa minit, aku nampak muka arwah ayah aku berkerut. Tapi dia tetap ketawa. Aku dapat rasakan dia dalam kesakitan. Tiba-tiba, arwah ayah aku menghulur tangan dia kepada aku. Dari isyarat badan, aku faham yang dia mintak aku pegang tangan dia.

Aku pun hulurkan tangan aku dan cuba mencapai tangan arwah ayah. Sebelum sempat aku pegang tangan arwah ayah, pakcik aku jerkah pada aku dan kata jangan layan apa yang arwah ayah aku minta sekarang. Jangan buat apa-apa, sehingga pakcik aku bagi kebenaran.

Tak lama kemudian, arwah ayah aku rebah, dan bila dia bangun, nampak penat benar. Seolah-olah arwah ayah aku baru selesai berlari.

Pakcik aku tanya apa yang arwah ayah aku alami. Arwah ayah cerita sewaktu didalam bilik, menunggu respon dari makhlus halus, dia cuma rasa mengantuk. Jadi arwah ayah aku mata. Tapi bila dia buka semula mata, dia rasa sepeti dia berada di tempat lain. Tapi tempat tu gelap sangat-sangat. Itu saja yang dia ingat.

Mak hulurkan air kepada arwah ayah untuk minum. Pakcik aku kata yang dia akan sambung semula sesi pada malam esok. Lagipun sudah lewat malam. Esok semuanya akan mula bekerja & bersekolah.

Mak, adik-adik & kakak saudara semua tidur di ruang tamu. Arwah ayah, pakcik, aku & suami kakak saudara aku tidur di dalam bilik adik-adik.

Kakak saudara & suami dia akan terus ke tempat kerja pada subuh nanti. Mereka memang sudah sediakan uniform kerja. Senang dan tak perlu nak patah balik ke Cheras semata-mata nak menukar pakaian.

4 pagi.....

Screettttttt...........aku terjaga oleh bunyi tadi. Dalam samar-samar, aku pandang sekeliling. Pakcik, arwah ayah & suami kakak saudara masih lena.

Scrrrreeeettttttttttt....bunyi yang sama kedengaran. Tetapi semakin kuat dan panjang. Bunyi seperti perabot diseret. Perasaan takut menerpa, bila aku lihat yang didalam bilik masih lena tidur. Adakah aku saja yang dengar.

Pada masa sama, aku terdengar sayup-sayup suara orang menangis di ruang tamu. Aku bangun dan menuju ke depan. Aku lihat kakak saudara aku sedang memujuk adik bongsu aku. Betul lah aku dengar suara orang menangis. Adik bongsu aku yang menangis.

Aku tanya kenapa dia menangis. Katanya dia dengar bunyi seperti orang menarik kerusi kayu yang berada luar rumah.

Bila adik bongsu aku berkata begitu, aku baru teringat yang di depan rumah ada kerusi kayu lama. Mak alihkan dari dalam rumah, ke luar rumah. Sebab sudah tiada ruang nak diletakkan dalam rumah. Kerusi tu bukan milik keluarga aku. Ianya memang sudah ada di dalam rumah sejak dari hari kami berpindah masuk.

Ssccrrrrreeeeettttttttttttt...bunyi yang sama. Adik bongsu aku menangis sehingga mak & adik kedua aku juga terjaga. Mak aku agak panik bila melihat adik bongsu aku menangis. Mak aku peluk dia dan cuba memujuk supaya berhenti menangis.

Arwah ayah juga terjaga dan terus ke ruang tamu untuk melihat apa yang terjadi. Ketika itu juga, pintu belakang rumah diketuk.

Tok tok... tak lama bunyi ketukan. Tapi berselang seli dengan bunyi kerusi kayu ditarik. Arwah ayah menyuruh mak memasang kaset surah-surah ruqyah yang dibeli.

Mak segera memasang kaset sepeti disuruh. Akhirnya, kami berjaga sehingga ke subuh. Bunyi kerusi ditarik & ketukkan di pintu belakang rumah masih kedengaran, dan hanya berhenti dalam sekitar pukul 6 pagi.

Minggu Keenam
Isnin

Aku berasa sangat mengantuk pagi itu. Tak cukup tidur disebabkan bunyi gangguan lewat malam tadi.

Semasa bersarapan, arwah ayah tanya kepada pakcik & suami kakak saudara aku, tak dengar kah bunyi-bunyi lewat malam tadi?

Katanya tak dengar apa-apa. Pakcik aku kata, ada kemungkinan makhlus halus tu halang pendengaran mereka. Aku tak pasti apa yang pakcik aku cuba sampaikan. Bagaimana makhluk halus tu boleh halang pendengaran?

Pakcik aku berkata dia akan keluar sebentar untuk ke rumah ustaz yang tinggal di blok hadapan blok aku. Ada perkara yang dia nak minta tolong.

Aku pula ke sekolah. Adik bongsu aku tak mahu ke sekolah pagi tu. Dia mengantuk dan nak tidur pagi tu. Mak benarkan dia untuk tak bersekolah hari tu. Adik aku yang kedua bersekolah pada sesi petang. Jadi dia boleh bangun lewat.

Di sekolah, aku tak boleh fokus dengan pembelajaran. Apa yang cikgu ajar dan sampaikan di dalam kelas, boleh dikatakan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Sehingga kuiz yang cikgu beri, aku tak dapat nak jawab. Dimarahi pula oleh cikgu matematik tambahan. Katanya aku tak ada semangat nak belajar. Nampak tak berminat dan asyik nak terlelap saja bila dia mengajar. Dia juga kata jangan ingat dia tak perasan aku tidur semasa dia tengah mengajar. Sengaja dia malas nak panjangkan cerita sehingga ke cikgu disiplin.

Pada waktu rehat, aku tak pergi makan. Aku cuma duduk bersandar di dinding dewan terbuka. Cuba untuk lelapkan mata. Baru saja nak terlelap...

"Hoi! Hoi!", kaki aku disepak-sepak. Tidak kuat, tapi cukup untuk mengejutkan aku. Aku buka mata, dan nampak 3 orang budak lelaki dari kelas sastera. Aku kenal budak-budak tu. Kategori budak nakal di sekolah. Aku tanya kenapa dikejutnya aku.

"Kau nak beli botol? Boleh simpan hantu", sambil ketawa. Aku dapat agak yang mereka mesti tahu kisah keluarga aku dari anak jiran sebelah rumah. Anak jiran bersekolah di sekolah yang sama. Cuma dia di kelas sastera. Satu kelas dengan budak-budak nakal tadi.

"Bodohlah korang nie", balas aku. Dengar saja perkataan bodoh, budak tiga orang tu melenting. Katanya aku sengaja cari gaduh. Cuba disepak pula muka aku. Tapi aku sempat lindung muka aku dengan tangan.

"Mampus kau lepas sekolah nanti", gertak salah seorang budak nakal tadi sambil meludah ke arah aku. Mereka beredar ke arah geng mereka yang lain. Dari isyarat badan, boleh nampak mereka sedang mengadu tentang aku kepada geng mereka. Dah jadi lumrah pembuli, mesti nak 'lauk' aku waktu habis sekolah.

Habis sesi persekolahan, aku singgah ke surau. Bukan kerana takut dipukul. Tapi kerana aku tahu aku tak dapat nak lawan kalau ramai-ramai yang datang pukul. Biarlah mereka tunggu di depan pintu pagar sekolah. Dapat juga aku lelap mata sekejap.

Tapi aku tak dapat nak lelapkan mata lama sangat. Aku dihalau keluar surau oleh guru sesi petang. Aku lihat jam sudah hampir pukul 2 petang. Mungkin budak-budak tu dah balik, bosan menunggu aku lama sangat.

Aku keluar mengikut pintu pagar yang utama. Aku bertawakal sahaja supaya tiada geng budak-budak nakal tu menunggu aku di luar sekolah. Setiap langkah, bila semakin hampir dengan pintu pagar, semakin berdebar perasaan aku.

Alhamdulillah, perjalanan aku dari sekolah ke rumah lancar. Tiada kelihatan geng budak-budak nakal tu. Sampai di rumah, aku cuma menukar pakaian sekolah ke tshirt dan seluar track. Di rumah cuma ada mak dan adik-adik.

Aku nak tidur sekejap di sofa. Berehat kerana malam nanti mesti akan berjaga lagi...


Bersambung di bahagian Keempat


Authors get paid when people like you upvote their post.
If you enjoyed what you read here, create your account today and start earning FREE STEEM!
Sort Order:  

Следуй за мной, следуй за тобой 🔝🔝🔝

You've been upvoted by TeamMalaysia Community :-

To support the growth of TeamMalaysia Follow our upvotes by using steemauto.com and follow trail of @myach

Vote TeamMalaysia witness bitrocker2020 using this link vote for witness