Sombong, punca BN gagal teruk di Pulau Pinang

in malaysia •  7 years ago 

E0705FAE-5F8F-445E-939D-740B40C7C4DF.jpeg

BUKIT MERTAJAM: : Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pulau Pinang membuktikan rakyat menolak sepenuhnya parti itu yang didakwa sarat dengan pelbagai isu termasuk rasuah, kleptokrasi dan salah guna kuasa.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, kepimpinan BN juga gagal menampakkan imej ‘mesra’ rakyat selain dilihat terlalu elitis.

“Lima tahun akan datang ini biarlah ia menjadi pengajaran buat BN. Pada pemerhatian saya di peringkat akar umbi, kebanyakan rakyat melihat kepimpinan BN sebagai sombong.

“Ini terbukti di kawasan-kawasan Melayu sekali pun termasuk yang dikaitkan sebagai kubu kuat UMNO, rakyat menolak pemimpin sebegini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Keputusan PRU14 menyaksikan BN hanya mampu menang dua kerusi parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang.

Kerusi parlimen dimenangi adalah Kepala Batas dan Tasek Gelugor sementara DUN yang dikuasai pula iaitu Permatang Berangan serta Sungai Dua.

Sementara itu, Ahmad Fauzi turut melihat penguasaan besar Pakatan Harapan (PH) di DUN Pulau Pinang bukan sebagai isu walaupun wujud pandangan akan berlaku ketidakseimbangan kuasa.

Katanya, ini merupakan masa sesuai untuk wakil rakyat BN membuktikan kematangan mereka dalam berbahas di dalam DUN kelak.

“Kadang-kala kita di atas, ada masa di bawah. Sudah tiba masa BN menjadi pembangkang yang matang.

"Jika prestasi wakil rakyat BN ini bagus, tidak mustahil pilihan raya akan datang mereka mampu menawan semula hati pengundi," ujarnya. - Berita Awani

Authors get paid when people like you upvote their post.
If you enjoyed what you read here, create your account today and start earning FREE STEEM!