KEPEKAAN TERHADAP PERASAAN SETIAP INDIVIDU SANGAT PENTING DAN PERLU DIHARGAI..........!!!!!!

in teammalaysia •  7 years ago  (edited)


Cadangan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan Malaysia memanglah suatu cadangan yang bagus. Keputusan peperiksaan janganlah dijadikan suatu pertandingan. Perasaan murid dan ibu bapa harus dihargai.

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda perasaan ibubapa dan anak perempuan beliau yang bernama Mariam. Tahun lepas sebaik sahaja diumumkan senarai murid - murid yang memperoleh 6A dan 5A dalam peperiksaan UPSR dalam suatu Majlis Khas, didapati perasaan murid yang bernama Mariam ini secara tidak langsung tidak dihargai. Pengalaman getir ini bukan sahaja dirasai oleh Mariam sahaja malah ibu bapanya turut merasai perasaan mereka tidak dihargai.

Pada hari keputusan diumumkan, subuh lagi ibu Mariam sudah berpesan, "Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Mariam ambil UPSR hari ni." Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar. Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja. "Encik Ahmad tak pergi ambil result anak?" "Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil." Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu. Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. "Abang, dah gerak dari ofis belum?" "Belum. Baru nak gerak." Sambil menolak kerusi merapat ke meja. "Result dah boleh tengok online. Tapi Yati tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Yati." Lif dari tingkat 7 turun ke B2 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari. Ya, saya gugup. Mariam sederhana saja di sekolah. Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas terbaik semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR. Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal.

Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong. Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Mariam. Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas kelas Agama Petang, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta. Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh. Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah. Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh. Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. "Mak, Mariam nak tidur." Saya melihat jam dinding, pukul 12 tengah malam. Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari. Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Serdang bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak terdaya rasanya hari minggu masih memandu jauh. Tapi merajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri. Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa. Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu. Sebagai ibubapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Mariam, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya. Tetapi dia. Bagaimana dia? Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya? Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.

Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Mariam pernah berbincang hati ke hati dengan ibunya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata. Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan 'loading'. Alamat url yang disebut ibunya taipkan satu persatu. 'Enter'. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan. Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Mariam. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti. "Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Yati dengar 'result online' dah keluar. Abang dah tengok?" "Dah." Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu. Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui. Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada. Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 6A dan 5A.

Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil. Saya mencari kelibat Mariam dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah. Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan. Mariam terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu. "Ya Tuhan, teruji sungguh hati ini hari ini." Saya hanya mampu bersandar pada dinding. Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, "Bang, tengok Mariam tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang." Mata isteri mula berair. Saya memerhati Mariam dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah. Itu saja mampu saya sebutkan dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.

Mariam memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Mariam ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah. Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba. Saya berjaya mengawal 'ego' seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah. "Ya Tuhan, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Tuhan. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Tuhan. Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Mariam ketika itu. Ya Tuhan, Mariam sudah berusaha sebaiknya. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi. Kau kuatkanlah hatinya ya Tuhan. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Tuhan.

Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Tuhan.... Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai ibubapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi 'pasti berjaya', apabila akhirnya Tuhan putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia. Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya. Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Tuhan. Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya. Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Tuhan menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Mariam sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini. Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega. Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa.

Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka. Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga. Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang dirasai. Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau ibubapa hargai.

Begitulah keluhan ramai ibubapa setiap kali keputusan diumumkan. Dari rintihan ibu bapa akhirnya pihak Kementerian Pendidikan mengadakan perubahan dari segi penyampaian slip keputusan.

Pada pandangan saya itu satu cadangan yang cukup bagus. Bukan semua yang tidak berjaya mendapat 6A maupun 5A itu malas. Ada ramai yang rajin tetapi disebabkan faktor-faktor seperti lemah ingatan, IQ yang sederhana , faktor kesihatan dan sebagainya semua ini mempengaruhi pencapaian keputusan setiap individu murid tersebut. Tidak bermakna mereka tidak memperoleh 6A ataupun 5A tidak akan berjaya dalam hidup. Kejayaan seseorang pelajar tidak bergantung sepenuhnya pada pencapaian akademik. Pencapaian akademik bukanlagi kayu pengukur dalam kejayaan hidup. Contohnya ada di antara pelajar SPM yang berjaya mendapat gred A dalam Bahasa Inggeris. Tetapi tidak ada keyakinan menggunakan Bahasa Inggeris dalam pertuturan. Dan paling teruk ada yang tidak boleh bertutur dengan betul dalam Bahasa Inggeris.

Akhir kata usahalah sehabis baik kalau tidak berjaya mencapai keputusan yang cemerlang janganlah berputus asa. Jangan lupa Tuhan itu Maha Kaya. Ada yang dari segi akademik tidak seberapa tapi kerana mempunyai bakat kurniaan Tuhan akhirnya berjaya menjadi penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza. Rezeki setiap manusia tidak sama.

Setakat sini dari saya buat renungan bersama.

Rujukan berikut adalah untuk tatapan bersama.
https://penyusakti.wordpress.com/2017/11/22/malu-terhina-anak-saya-tidak-dapat-semua-a-upsr-sebuah-cerita-benar/

https://penyusakti.wordpress.com/2016/11/18/jangan-terlalu-kejar-a-pengarah-lembaga-peperiksaan/

Authors get paid when people like you upvote their post.
If you enjoyed what you read here, create your account today and start earning FREE STEEM!
Sort Order:  

Hi! I am a robot. I just upvoted you! I found similar content that readers might be interested in:
https://penyusakti.wordpress.com/2017/11/22/malu-terhina-anak-saya-tidak-dapat-semua-a-upsr-sebuah-cerita-benar/

Wow ! How come your link you share is found in my post huhu !!!!!

Congratulations @leemeili! You have completed some achievement on Steemit and have been rewarded with new badge(s) :

Award for the number of posts published

Click on any badge to view your own Board of Honor on SteemitBoard.
For more information about SteemitBoard, click here

If you no longer want to receive notifications, reply to this comment with the word STOP

By upvoting this notification, you can help all Steemit users. Learn how here!