Dalam seri tokoh ini saya ingin mengkaji sosok Tun Dr. Mahathir (TDM) sebagai tokoh serba boleh dalam kajian negara bangsa. Namun, saya ingin melihat sosok TDM secara personal. Ini dikeranakan sebagai orang Acheh, nama Tun Dr. Mahathir (TDM) memang tidak begitu asing. Sejak menjadi santri pada tahun 1990, di salah satu madrasah tsanawiyyah, nama beliau sudah dikenali oleh setiap santri di Acheh Timur. Saat itu, nama beliau disandingkan sebagai tokoh reformasi Islam dari Asia Tenggara. Ertinya, sesiapa sahaja yang ingin mendalami gerakan pembaruan Islam, nama TDM harus dijadikan sebagai rujukan utama. Spirit TDM di Acheh memang tidak dapat dinafikan, hal ini dikeranakan hubungan emosional orang Acheh dengan Malaysia yang sudah berlangsung selama ratusan tahun.
Sebagai contoh, Syed Naquib Al-Attas ketika membangun ide-ide dasar mengenai perkembangan pendidikan Islam (Islamic Studies) di ISTAC, beliau merujuk falsafah pemikirannya daripada asas-asas minda Hamzah Fansuri yang pernah disemai di Acheh pada abad ke-16 dan 17 Masehi. Tidak hanya itu, Andaya salah seorang peneliti Dunia Melayu juga menggambarkan bagaimana kontribusi Acheh dalam penguatan identiti Melayu. Hal yang sama juga dilakukan oleh TDM dalam mengubah Dunia Melayu melalui pendekatan melihat kegemilangan Acheh sebagai salah satu faktor penting ketika dia membangun Malaysia, sebagaimana dituliskannya dalam buku Malay Dilemma.
Kehadiran TDM memang bukan seperti era kerajaan Sultan Iskandar Muda, melainkan beliau memimpin pada saat era moden, namun masih tetap mempertahankan dua hal iaitu keberadaan perlembagaan Melayu dan kemunculan konsep negara bangsa (nation state). Setakat ini, beberapa pemimpin Muslim agak sukar menjalankan roda pemerintahan mereka, kerana berhadapan dengan konsep negara bangsa yang cuba menegasikan peran etnik dan agama dalam kerajaan. Namun demikian, Tun Mahathir melalui konsep-konsep islamisasi dan wawasan 2020, berhasil memadukan antara Islam dan pembangunan di Malaysia. Inilah salah satu alasan mengapa nama beliau sangat dikenal di Asia Tenggara. Menjadi ikon bagi anak-anak di Tanah Rencong tentu sahaja memunculkan pertanyaan: apa yang istimewa dari TDM ini?
Tentu sahaja sudah begitu banyak karya yang mengupas bagaimana keistimewaan TDM. Keistimewaan pertama adalah kemampuan TDM dalam mempelajari sejarah kegemilangan kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara, lalu spirit keberhasilan tersebut dicuba diterapkan dalam roda kerajaan dan juga tercermin dari pemikirannya. Disini, diakui atau tidak, faktor-faktor sejarah Melayu menjadi dasar bagi TDM dalam mengembangkan gagasan identiti Melayu yang moden. Beliau mengambil sejarah sebagai iktibar.
Adapun keistimewaan kedua adalah mengambil spirit konsep negara bangsa dalam pembangunan ekonomi. Disini TDM tidak melakukan proses sekularisasi dalam erti pemikiran Barat dimana agama dan negara harus dipisahkan, melainkan TDM melakukan proses sekularisasi yang islami seperti yang pernah dipraktekkan di Rasulullah di Madinah. Sehingga sekularisasi islami model TDM agak susah dicabar, kerana spirit dan jiwa dalam proses sekularisasi ini adalah nilai-nilai Islam yang tidak boleh digantikan oleh spirit sekularisasi Barat.
Sehingga, seolah-olah terkesan Mahathir anti-Barat, walaupun model pembangunan negara Malaysia seperti yang dilakukan oleh Barat. Pada saat yang sama, Barat pun tidak dapat menghadang TDM, kerana beliau memberikan ruang publik bagi nilai-nilai Barat untuk diterapkan sebagai asas kegiatan perekonomian Barat. Bagi mereka yang tidak mengenai konsep the self di era moden, cenderung akan salah menilai sosok TDM, yang seolah-olah mesra dengan pihak Barat.
Sementara keistimewaan yang ketiga adalah kemampuan dalam membaca tanda-tanda zaman. Seorang pemimpin, sekalipun memiliki kemampuan intelijensi yang tinggi, namun diharuskan mampu membaca tanda-tanda zaman, agar mampu menciptakan kesiapan mental dan spiritual bagi negaranya yang sedang dipimpin. Kerana itu, tidak mengejutkan jika ketajaman berpikir TDM ini terkadang sulit dipahami oleh beberapa pihak. Sebagai contoh, pada tahun 2001, saat orang takut membicarakan Negara Islam, TDM dengan lantang mengatakan bahawa Malaysia adalah Negara Islam yang fundamentalis. Namun, pandangan TDM ini tidak dianggap sebagai pemikiran radikal, kerana jika dilihat dari aspek takwîl, TDM sedang menggunakan pendekatan ushuliyyah (fundamental) dalam mencabar suasana zaman, dimana Islam sedang dikecam dalam pentas global. Hal yang sama dilakukan oleh TDM ketika menangis pada tahun 2002 dalam salah satu mesyuarat agung UMNO, kerana memandang beliau tidak berhasil memimpin orang Melayu. Disini dapat dipahami bahawa beliau berhasil memimpin Malaysia, tetapi tidak berhasil membawa orang Melayu menghadapi cabaran di negaranya sendiri. Dalam Perhimpunan Agong tersebut, TDM berucap:
Ini tidak mengapa jika individu Melayu sudah menjadi orang yang gagah yang memiliki kebolehan yang tersendiri, kebolehan bersaing tanpa keistimewaan yang hari ini mereka anggap sebagai hak mereka. Tetapi mereka bukan sahaja tidak menjadi individu yang gagah; sebaliknya mereka tidak sanggup menghadapi persaingan barang sedikit pun. Tanpa pengalaman bersaing dengan orang lain, jika perlindungan tiba-tiba hilang maka tidak mungkin sama sekali mereka survive (Mohammad, 2002: 21).
Beberapa keistimewaan TDM di atas kemudian dibalut dengan beberapa pemikiran yang cukup otentik iaitu mengenai jati diri manusia dan hakikat sebuah bangsa. Namun kelajuan pola pikir TDM ini terkadang sukar untuk diikuti, jika tidak difahami secara benar menurut falsafah pemikiran. Dalam kategori ini, pemikiran TDM dapat dimasukkan dalam kelompok pemikir intepretatif dan implikatif. Maksud dari tahap pemikir seperti ini adalah seseorang pemikir sudah paham bagaimana aspek pengaruh atau kesan dari pemikirannya terhadap orang lain. Biasanya disini adalah tugas pada analis atau kelompok think thank yang bekerja di belakang layar, dimana hasil pemikiran mereka dilaksanakan atau dijadikan sebagai sebuah hasil kebijakan dari pemikirannya. Namun ada juga kelompok pemikir pada tahap ini yang menuliskan ide-ide mereka di dalam buku, lalu sarjana atau penuntut ilmu menjadikannya sebagai dasar untuk melihat aspek sosial kehidupan manusia. Pada tahap ini, ilmu sudah mulai dirasakan ada manfaat bagi sekelompok manusia, apakah nanti hasilnya baik atau buruk, maka diperlukan standar keilmuan untuk menilainya.
Keberadaan TDM di Malaysia tentu saja sudah dirasakan manfaatnya selama 30 tahun lebih. Gagasan-gagasan cemerlang TDM selalu diaktulisasikan ke dalam realiti negara bangsa di Malaysia. Pemikir kategori ini selalu mampu menerapkan gagasannya ke dalam masyarakat, sehingga masyarakat, disadari atau tidak, selalu menanti kehadiran pemikir tersebut. Buah dan tata cara berpikir TDM melalui keistimewaan di atas telah tampak dalam pembangunan di Malaysia. Disamping itu, TDM menjadi jembatan Dunia Islam dan Dunia Melayu dengan Barat. Sehingga wajah Malaysia saat ini adalah berkah dari gagasan TDM yang selalu otentik atau asli. Di akhir esei ini saya ingin menutup dengan andalan bahwa para pembaru hanya muncul muncul satu kali dalam setiap episod sejarah. Mereka hadir menjadi penyangga kaumnya dan selalu dirindui oleh rakyat. Pembaru juga tidak akan dilupakan. Ini bukan kerana kejeniusan pembaru tersebut, melainkan kerana dalam diri (self) telah dihubungkan antara apa yang disebut mikro dan makro kosmos (alam al-saghir dan ‘alam al-kabir). Pada sosok TDM telah diberikan kelebihan dalam alam al-saghir, sehingga dia mampu mengendalikan pikirannya dan dituangkan dalam bentuk gagasan membangun negara bangsa.
Setakat ini, TDM telah pernah menjadi pemimpin Malaysia dan bahkan sekarang masih diambil kira beberapa pandangannya. Orang tentu sahaja tidak akan membantah pikirannya, bukan kerana tidak mampu, melainkan apa yang dipikirkan mampu diimplementasikan, sehingga orang yang mencabar harus melakukan terlebih dahulu apa yang pernah dilakukan TDM sebelumnya. Kegemilangan berpikir ini tentu sahaja telah diwariskan dalam tradisi berpikir Melayu selama ratusan tahun lalu. Hanya sahaja, orang Melayu kerap tidak mampu memahami bagaimana tahapan-tahapan bepikir model Melayu. Sehingga, terkadang cara berpikir TDM banyak ditentang oleh kaum Melayu sendiri. Padahal sejak awal, model berpikir Melayu ini dengan mengedepankan nilai-nilai Islam telah menjadi asas tata pikir TDM pada aspek meta teori. Sehingga dalam kontek kajian negara bangsa, TDM juga telah berhasil menggabungkan nilai-nilai ke-Melayu-an menjadi salah satu unsur penting dalam Asian Values.
Esei ini telah menampakkan bagaimana kontribusi TDM dalam perlbagai sudut pendekatan dalam kajian negara bangsa. Dapat disimpulkan bahwa TDM telah menjadi ikon pemikir dari Dunia Melayu untuk Dunia Islam dan juga menjadi wakil di Barat, dimana dia tidak hanya mampu “mengkritik” kaumnya sendiri, tetapi paling tidak, mampu mengeluarkan mereka dari kemelut identiti atau jati diri menjadi negara maju di rantau Asia Tenggara. Bagaimana pun, episod sejarah kontemporar di Malaysia, tidak akan lengkap ditulis, jika tidak melibatkan peranan TDM di dalamnya. Paling tidak, esei in telah merangkumi beberapan peranan TDM dari aspek falsafah pemikiran dan mengapa TDM penting dalam kajian negara bangsa, tidak hanya di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia Tenggara.
Wah, membaca tulisan ini, Asma merase tinggal di Malaye 😂
Downvoting a post can decrease pending rewards and make it less visible. Common reasons:
Submit
terima kasih atas sharing yang bermanfaat ini... Semoga saja bisa mengikuti jejak beliau dalam berkhidmat terhadap ilmu dan bangsa
Downvoting a post can decrease pending rewards and make it less visible. Common reasons:
Submit