SEJARAH DINAR MENYUSURI ZAMAN

in lidya •  7 years ago 

PENDAHULUAN

Penggunaan wang dalam sistem perekonomian telah bermula sejak zaman sebelum Islam lagi. Islam mengenali penggunaan wang melalui tamadun Rom yang berpusat di Bayzantine dan tamadun Parsi.

Kewujudan aktiviti perdagangan serta interaksi sosial antara tamadun-tamadun tersebut telah menyumbang kepada perpindahan sebahagian besar aspek-aspek tamadun ke dunia Islam yang bermula di Madinah sebagai negara Islam yang pertama. Penerimaan aspek-aspek dan pembangunan tamadun terbabit membuktikan bahawa Islam tidak menolak sebarang pembangunan selagi ianya tidak melanggar peraturan syarak. Sehubungan dengan itu, kertas kerja utama ini bermatlamat

mengupas sejarah perjalanan dan perkembangan penggunaan wang Dinar bermula dari zaman Jahiliyyah hingga zaman kerajaan ‘Uthmaniyyah.

Semoga sejarah perjalanan wang Dinar ini dapat dijadikan iktibar, panduan dan pedoman kepada warga akademik dan masyarakat Islam pada hari ini.

SEJARAH DINAR PADA ZAMAN SEBELUM ISLAM

Istilah Dinar dan Dirham sebagai unit wang dalam Islam merupakan pengaruh daripada bahasa kerajaan-kerajaan silam yang telah wujud sebelum zaman pemerintahan Islam. Interaksi masyarakat Arab sejak sebelum Islam dengan kerajaan-kerajaan sekitarnya menerusi aktiviti perdagangan telah menyumbang kepada pengenalan wang Dinar dan Dirham di kalangan masyarakat Arab. Wang Dinar dan Dirham yang digunakan oleh masyarakat Islam yang mula membangun di Semenanjung Arab ketika pemerintahan Rasulullah (s.a.w.) merupakan kesinambungan daripada perkembangan penggunaan wang bagi kerajaan-kerajaan masyarakat zaman yang lebih awal di sekitarnya iaitu Kerajaan Lydia, Kerajaan Greek Yunani, Kerajaan Rom dan Kerajaan Parsi.

KERAJAAN LYDIA

Umum mengetahui bahawa kegiatan ekonomi memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sesebuah negara. Aktiviti masyarakat silam yang bergiat aktif dalam urusan jual-beli akhirnya telah mencetuskan kepada kewujudan unit wang. Penempaan wang logam yang pertama telah diperkenalkan oleh pemerintah Kerajaan Lydia iaitu Raja Croesus yang memerintah sekitar tahun 570-546 S.M. (Hasan 1999: 60). Lydia merupakan sebuah negara-kota yang terletak di barat Anatolia dan kerajaan ini pernah diterajui oleh tiga dinasti iaitu Atyds, Heraclias dan Candaules.

Kerajaan silam Lidya dipercayai berkuasa sekitar 1300 S.M. sehinggalah 133 S.M. selepas ditakluk oleh Empayar Greek Yunani menerusi Raja Alexandar III. Kedudukan Lidya yang strategik sebagai lokasi perdagangan yang menghubungkan antara pedagang Timur dan Eropah menjadikan kegiatan ekonomi di wilayah itu semakin rancak dan seterusnya mencetuskan idea untuk menempa wang bagi kemudahan pedagang. Faktor lain yang mendorong kepada pengeluaran wang pertama ini ialah kewujudan kawasan yang mempunyai sumber logam iaitu di Sungai Pactolus. Kawasan tersebut mempunyai sumber logam electrum iaitu campuran logam emas dan perak.

Masyarakat Lidya dipercayai menempa wang mereka daripada logam electrum yang sebahagian besarnya diperolehi daripada sungai tersebut. Lambang kepala singa yang terdapat pada permukaan wang menjelaskan pengaruh wang terbabit sebagai simbol pemerintahan beraja ketika itu. Ia mempunyai campuran 96% logam emas dan 4% logam perak (Qadus 2001: 6).Wang ini ditempa dengan berat sekitar 4.76 gram. Reka bentuknya masih tidak sekata dengan permukaan yang tidak rata. Penggunaan wang tersebut telah berterusan sehingga berlakunya penguasaan pemerintah Mecedonia, Raja Alexander III sekitar tahun 133 S.M. Kewujudan unit-unit wang tersebut menunjukkan bahawa Lydia telah mempunyai peradabannya yang tersendiri dari aspek perkembangan pemikiran dan ekonomi.

Authors get paid when people like you upvote their post.
If you enjoyed what you read here, create your account today and start earning FREE STEEM!
Sort Order:  

Hi! I am a robot. I just upvoted you! I found similar content that readers might be interested in:
http://e-muamalat.islam.gov.my/sites/default/files/kertas_persidangan/2010/04/01_Wan_Kamal_Mujani.pdf