Kisah Seram aku - Bahagian #1

in teammalaysia •  7 years ago 

Apa yang aku ceritakan disini adalah cerita benar. Aku dan seluruh ahli keluarga aku mengalaminya.

Aku pecahkan cerita ini kepada beberapa bahagian. Sebab rasa seperti terlalu panjang jika aku sumbatkan kesemuanya disini.

Bahagian Pertama

image.png

Ini sememangnya gambar flat tempat kejadian dari Google Maps. Lokasi terpaksa dirahsiakan

.
Kejadian berlaku 18 tahun yang lalu, dimana waktu itu, keluarga aku baru saja berpindah ke Kuala Lumpur dari Seremban.

Pada tahun 2000, arwah ayah aku masih berkhidmat dalam tentera, dan rezeki dia, dimana dia mendapat tawaran naik pangkat. Tetapi untuk menerima tawaran itu, kami terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur.

Di Seremban, kuarters keluarga yang didiami agak luas. Rumah kuarters yang diberikan adalah rumah teres dengan tiga bilik tidur, dan dua bilik air. Sangat selesa bagi aku. Sebab bilik utama, mak & arwah ayah gunakan. Bilik kedua besar, jadi bilik tidur adik-adik perempuan aku.

Manakala aku tinggal dalam bilik paling kecil. Itupun sudah mencukupi sebab aku seorang saja anak lelaki.

Tetapi apabila berpindah ke Kuala Lumpur, kami mendapat rumah flat sebagai kuarters keluarga. Flat kuarters yang keluarga kami dapat adalah model lama dan kecil. Cuma dua bilik tidur, dan satu bilik air. Seperti biasa, bilik utama mestilah milik mak & arwah ayah aku. Bilik kedua aku berikan kepada adik-adik perempuan. Aku tidur di ruang tamu.

Minggu Pertama

Kami berpindah bukan pada musim cuti sekolah. Jadi selepas selesai pindah, aku & adik-adik aku terus mula bersekolah di sekolah baru.

Mujurlah jarak dari kuarters ke sekolah tidak begitu jauh. Dalam 500 meter sahaja. Aku & adik bongsu aku bersekolah pada sesi pagi. Manakala adik kedua aku, bersekolah pada sesi petang.

Jadi rutin harian aku untuk minggu tu, menghantar adik bongsu aku ke sekolah rendah dahulu, kemudian baru aku ke sekolah aku yang terletak di seberang jalan. Pada minggu pertama, arwah ayah aku bekerja shift pagi, maka dia akan ambil adik aku dari sekolah.

Sepanjang tiga hari, tiada apa-apa yang berlaku. Semuanya berjalan normal.... Tetapi setelah hari keempat, dari situ bermula episod gangguan.

Gangguan pertama yang diterima adalah pada waktu makan tengahari. Agak lucu bila dengar gangguan pada waktu tengahari kan? Tetapi itulah yang berlaku.

Oleh kerana ruang dapur yang sempit, tiada meja makan diletakkan di dapur. Kami sekeluarga akan makan bersila di lantai.

Lauk-pauk dihidangkan di tengah. Periuk nasi diletakkan di atas dapur memasak. Kalau nak tambah nasi, kena bangun dan senduk sendiri.

Sedang kami sekeluarga bersila di lantai, menjamu selera. Secara tiba-tiba, periuk nasi yang berada di atas dapur terpelanting seperti ditepis. Berselerak nasi di atas lantai.

Bayangkan betapa terkejutnya kami. Kalau difikirkan logik akal, sangat mustahil untuk periuk nasi tu terjatuh, apa lagi terpelanting begitu. Tapi kami tidak mahu memikirkan sangat tentang tu, dan segera membersihkan nasi yang berterabur tadi.

Selepas itu, tiada apa-apa gangguan lain yang berlaku.

Minggu kedua

Disebabkan aku tiada bilik sendiri, jadi aku tidur di ruang tamu. Apabila nak menukar atau pakai pakaian, aku akan meminjam bilik adik-adik aku.

Pada sebelah malam, satu bantal dan selimut menjadi tempat alas tidur aku di ruang tamu.

Sedang aku sedang sedap tidur, aku terjaga sebab aku mendengar seperti orang berbual-bual di luar ruang hadapan rumah aku. Aku lantas duduk. Aku dapat dengar suara tu dengan jelas, tetapi tak dapat tangkap apa butir yang disembangkan. Rasa terlalu asing bahasa yang digunakan.

Bila aku cuba amati perbualan tu, secara tiba-tiba suasana senyap. Sudah tak kedengaran suara yang berbual tadi.

Aku fikir mungkin penduduk kuarters juga. Sebab majority disitu bekerja dalam shift. Seperti arwah ayah aku. Mungkin mereka sedang dalam perjalanan balik ke rumah masing-masing, dan bersembang sambil berjalan.

Suasana pun sudah sunyi semula, hanya kedengaran bunyi cengkerik. Disebabkan mengantuk, aku sambung tidur aku.

Keesokan harinya, aku & adik-adik aku bersekolah seperti biasa, makan malam bersama. Juga seperti biasa, pada sebelah malamnya, aku akan tidur di ruang tamu.

Macam malam kelmarin, aku terjaga sekali lagi sebab terdengar seperti suara orang berbual-bual. Di tempat yang sama. Cuma kali ini, lebih kuat suara mereka. Butir perbualan tak dapat juga aku tangkap.

Berang sebab suara mereka bersembang terlalu kuat, aku lantas bangun dan menuju ke suis lampu. Aku bercadang nak membuka lampu hadapan rumah aku. Saja nak bagi mereka tahu yang mereka berbual sehingga menganggu aku tidur.

Belum sempat aku petik suis lampu dari OFF kepada ON, suara bersembang tadi sudah tak kedengaran. Sunyi sepi....

Secara jujur, aku berasa agak seram waktu tu. Malahan perasaan seram yang aku alami 18 tahun lepas, aku alami semula sekarang bila aku menaip kisah ni.

Pada sebelah paginya, aku beritahu kepada arwah ayah aku tentang suara yang aku dengar. Apa yang arwah ayah aku kata, mungkin jiran sebelah baru habis shift & bersembang dengan kawan dia. Kebetulan saja, kata arwah ayah aku.

Minggu Ketiga

Cuti sekolah sudah bermula. Tak lama pun, cuma seminggu. Aku memang sudah meminta izin dari mak & arwah ayah aku untuk tidur di rumah kawan aku di Seremban untuk dua hari. Iaitu hari selasa dan hari rabu. Pada hari khamis, aku akan balik semula ke Kuala Lumpur.

Mak & arwah ayah pun dah bagi izin untuk aku bermalam di sana. Seronok bukan main lagi aku. Yelah, sudah lama tak jumpa kawan-kawan di Seremban. Rasa macam banyak perkara nak diborak.

Dari Kuala Lumpur ke Seremban, aku mengambil bas dari Pasar Seni. Aku ingat lagi, tiket berharga Rm6.50 untuk perjalanan sehala. Bas akan bertolak dari Pasar Seni menuju ke Terminal 1 Seremban.

Sampai di Terminal 1, sahabat karib aku, Zack dan menunggu di tempat ketibaan. Sahabat aku tu melayu juga. Kenapa dipanggil Zack adalah kerana nak bezakan dia dengan abang kembar dia. Kembar dia dipanggil Zai.

Hari Selasa tu aku tidur di rumah Zack. Sebelum tu, pada siang harinya, memang aku berjalan saja. Sudah dirancang untuk berkumpul beramai-ramai di A&W Taman Tasik Seremban dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Kemudian lepak pula di pekan Senawang bersama rakan setaman.

Buat seketika, aku lupa tentang gangguan di rumah aku di Kuala Lumpur...

Subuh Rabu, Zack kejut aku dari tidur dan beritahu yang dia terpaksa mengikut keluarga dia balik ke kampung. Arwah datuk dia jatuh sakit.

Percutian aku ke Seremban terpaksa dibatalkan, dan aku ambil bas pukul 10pagi ke Kuala Lumpur. Perjalanan cuma makan masa 1 jam sahaja.

Sampai di Kuala Lumpur, aku mengambil Putra LRT (nama baru LRT Laluan Kelana Jaya) dari Pasar Seni ke Wangsa Maju. Kemudian dari Wangsa Maju menaiki bas ke kuarters.

Setibanya di rumah, aku lihat rumah berkunci. Tiada siapa-siapa. Mungkin keluar ke pasar atau berjalan-jalan sekejap.

Aku memang ada kunci spare. Aku buka pintu rumah dan lihat rumah sangat bersepah. Dengan majalah berterabur sana-sini. Lantai rasa basah dan licin. Macam disiram air.

Tahun 2000, bukan semua keluarga mampu nak memiliki handphone. Keluarga aku tergolong sekali. Hanya berharap pada telefon rumah. Maka aku tunggu saja di rumah. Aku kemaskan majalah yang bersepah. Kemudian aku ON television dan baring-baring di ruang tamu. Tanpa sedar, aku terlelap....

"Bammm!!!", aku terkejut dan terjaga bila terdengar bunyi tu. Aku tak nampak apa-apa yang jatuh. Aku lihat jam dinding, sudah pukul 6.45 petang. Lama juga aku terlelap.

Pada masa sama juga, aku terdengar bunyi air disiram dalam bilik air, dan bunyi periuk berlaga. Aku fikir mungkin ahli keluarga aku dah balik & nak mandi. Juga mungkin mak aku tengah bersiap untuk memasak.

Aku bangun sekejap untuk OFF television, dan sambung baring. Rasa pening pula sebab bangun secara mengejut tadi. Sedang aku baring, tak lama kemudian, pintu rumah dibuka dan arwah ayah aku terkejut melihat aku ada di rumah.

"Bila abang balik?", arwah ayah panggil aku abang. Sebab aku adalah anak sulung.

Aku beritahu yang aku terpaksa balik awal sebab Zack terpaksa balik kampung untuk melihat datuk dia. Juga aku dah berada di rumah sejak dari tengahari tadi.

"Takde jadi apa-apa ke?", arwah ayah aku bertanya lagi.

Aku beritahu yang tak ada apa-apa. Kemudian aku beritahu yang mungkin mak ada di dapur dan adik-adik dalam bilik mandi. Sebab dengar bunyi periuk berlaga & air dicurah ke lantai.

Dengar saja jawapan aku, arwah ayah segera suruh aku ikut dia keluar dari rumah. Aku bingung, tanpa membantah, aku turut saja perintah arwah ayah aku.

Aku capai bag baju yang aku bawa ke Seremban dan keluar dari rumah. Arwah ayah cuma masuk ke bilik dia sekejap dan mengambil bag tangan mak serta pouch bag yang arwah ayah selalu pakai.

Sampai saja ke bawah flat, arwah ayah beritahu yang mak & adik-adik semua ada di rumah kakak sedara di Cheras. Arwah ayah hidupkan enjin kereta, dan bawa menuju ke Cheras.

Jadi....siapa yang di dapur tadi...........


bersambung di Bahagian Kedua


Authors get paid when people like you upvote their post.
If you enjoyed what you read here, create your account today and start earning FREE STEEM!
Sort Order:  

Owh nooo....
Kenapalah saya jumpa artikel ini 😂😂😂
Saya merasa seram sekarang, saya tinggal di apartment, tempat nie pun ada 👻😱..
Tapi saya kena melukis untuk contest... 😂

Hahahaaa...

Hahaha, mana tahu boleh bagi idea untuk lukisan @arwine

terima kasih singgah di blog saya

You’ve been upvoted by TeamMalaysia community. Do checkout other posts made by other TeamMalaysia authors at http://steemit.com/created/teammalaysia

To support the growth of TeamMalaysia Follow our upvotes by using steemauto.com and follow trail of @myach

Vote TeamMalaysia witness bitrocker2020 using this link vote for witness