Kisah Seram aku - Bahagian #2

in teammalaysia •  7 years ago 

Ini adalah sambungkan kepada Kisah Seram aku - Bahagian #1. Link

Bahagian Kedua


image.png
Sumber Gambar

Minggu Keempat

Sepanjang cuti sekolah tu, kami sekeluarga tinggal di rumah kakak saudara aku di Cheras. Cuma arwah ayah akan pergi ke rumah kuarters bila perlukan baju salinan untuk dipakai.

Kami tinggal di rumah kak saudara aku dari hari Rabu sehingga Ahad. Mak & adik-adik tak berani nak balik ke rumah.

Aku ada bertanya kepada mak aku, apa yang terjadi bila aku tidur di Seremban. Mak aku cerita pada malam yang aku tidur di rumah kawan aku di Seremban, seperti biasa, mereka makan malam bersama di dapur.

Bersila di lantai untuk makan malam. Sedang makan, tiba-tiba, periuk nasi di atas dapur terpelanting seperti sebelum ini. Bila mak aku nak capai periuk nasi yang jatuh tadi, secara tiba-tiba juga periuk tu terpelanting sekali lagi seolah-olah disepak.

Kemudian, pinggan kaca di lantai pula tercampak. Pecah berderai pinggan kaca tu bila terkena dinding. Plastik berisi sampah, terburai macam dicakar dengan benda tajam.

Arwah ayah tanpa berlengah, bawa mak & adik-adik aku keluar dari rumah. Kemudia arwah ayah memanggil ustaz yang tinggal berdepan dengan flat keluarga aku.

Ustaz tu datang, dan menasihatkan supaya tidur di tempat lain buat sementara. Kerana itulah mereka tidur di rumah kakak saudara aku.

Sebelum berangkat ke rumah kakak saudara aku, ustaz tadi menabur garam kasar di setiap penjuru rumah.

Mendengar cerita dari mak aku, membuak perasaan marah. Kenapa keluarga aku diganggu sampai begitu sekali

Minggu Kelima

Cuti sekolah sudah habis. Mahu tak mahu, kami sekeluarga kena balik ke rumah. Tak sedap pula rasa nak tinggal lama-lama di rumah kakak saudara aku.

Rasa menggangu pula. Walaupun kakak saudara & suami dia kata tak menyusahkan mereka, tapi bagi keluarga aku, mesti akan menggangu privasi mereka suami isteri.

Jadi kami semua cekalkan hati, dan pulang ke rumah...

Bila melangkah masuk ke dalam rumah, rasa seram sejuk. Rasa seperti ada makhluk lain yang sedang duduk ruang tamu, di atas sofa dan di dalam bilik. Rasa seperti sedang diperhatikan...

Bila menjelang senja, bermacam jenis bunyi yang didengari. Mak & arwah ayah aku dengar bunyi anjing
di dalam rumah. Adik-adik aku pula selalu dengar pintu diketuk. Kadang-kadang di tengah malam, dengar bunyi memasak di dapur. Aku pula selalu mendengar suara orang bersembang berdekatan dengan aku.

Terasa macam kami pula yang menumpang di rumah orang. Tapi orang tu, kami tak nampak dengan mata kasar.

Sepanjang minggu tu, kami tidur beramai-ramai di ruang tamu. Aku & arwah ayah ambil posisi di paling hujung. Mak & adik-adik tidur di bahagian tengah.

Adakalanya, terasa seperti selimut yang dipakai direntap. Tapi kami semua buat tak tahu saja. Kami sekeluarga bertahan dengan gangguan sepanjang minggu.

Sepanjang minggu tu juga, kami semua tak cukup tidur. Asal mahu lelap, mesti akan terkejut dengan bunyi benda dihempas. Mak aku pula kerap mimpi ngeri bila tidur. Adik aku yang bongsu, kata dia nampak kelibat sedang mencangkung di atas sofa sambil memerhatikan kami semua tidur.

Apa yang aku kesalkan, jiran sebelah menyebelah mengatakan kami semua menipu. Malahan aku diejek di sekolah, katanya sendiri bela hantu, sendiri kena kacau. Paling menyakitkan hati adalah bila ada yang offer untuk jual botol kepada aku. Katanya, boleh guna untuk simpan hantu

Aku kerap mencuri masa untuk lelapkan mata di surau. Kerana di rumah, kami semua tak dapat tidur yang mencukupi. Tapi malangnya, aku terlelap agak lama di surau, dan aku didenda oleh guru sekolah. Masa tu aku buntu, tak tahu nak buat apa.

Bila sampai hari Jumaat, aku jadi risau. Sebab cuti dua hari. Bermakna dua hari aku akan diganggu di rumah....Dengan hati yang berat, aku melangkah balik ke rumah.

Setibanya di rumah, aku lihat pakcik aku dan arwah ayah aku berada di rumah. Nampak seperti sedang membincangkan sesuatu.

Selepas makan malam, barulah pakcik aku beritahu yang dia nak bantu 'pulih' kan rumah yang aku duduki sekarang ini. Sesi berubat akan bermula pada esok harinya, sehingga hari ahad.

Hari Sabtu

Sepanjang hari semasa pakcik aku berada di rumah, tiada apa-apa gangguan. Sunyi & tenang. Malahan aku tak ada perasaan diperhatikan.

Kata pakcik aku, memang sengaja makhluk halus yang duduk dalam rumah tu buat begitu. Permainan yang licik.

Kak saudara & suami dia juga datang sekali untuk menemani mak & adik-adik aku. Sesi berubat akan bermula selepas isyak, iaitu sekitar 8 malam. Tapi sebelum itu, pakcik aku sudah minta mak & adik-adik untuk duduk di ruang tamu dan jangan berpisah. Duduk rapat dan jangan pergi kemana-mana seorang diri. Apa-apa yang terjadi, jangan lari, dan jangan masuk dalam bilik.

Kami pula disuruh duduk dalam bilik tidur adik-adik aku. Kemudian pakcik aku berpesan supaya jangan jauhkan diri dari arwah ayah aku. Dia juga berpesan perkara yang sama kepada arwah ayah aku. Suami kakak saudara aku ada sekali menemani.

Apa yang aku ingat, pakcik aku berdiri dan berjalan menuju ke tingkap bilik, dan dia buka tingkap dan kemudian berkata yang dia nak berbicara dengan ketua makhluk halus tu.

Pada mulanya, tiada apa-apa yang berlaku. Pakcik aku ulang semula kata-kata yang sama. Tapi tiada juga respon.

Sebaik saja pakcik aku menoleh untuk duduk semula, tiba-tiba arwah ayah aku menjerit

"Kenapa kau masuk rumah aku!!!!", dengan kuat dan betul-betul membuat aku terkejut.

Pakcik aku cuma berkata "Haa, datang pun". Pakcik aku beritahu kepada aku, yang menjerit tu, bukan arwah ayah aku. Tapi makhluk halus yang menganggu keluarga aku.

Perasaan aku? Sudah tentu aku dalam ketakutan, tapi aku kuatkan hati, sebab yang aku nampak, adalah arwah ayah aku. Cuma aura dia sangat lain. Meremang bulu roma aku bila pandang wajah dia. Rasa macam aku memandang orang lain.

Pakcik aku bertanya, kenapa mesti diganggu keluarga aku. Jawapan yang diberikan adalah mereka sudah lama tinggal dalam rumah tu. Keluarga aku yang menganggu mereka.

Pakcik aku berkata rumah yang keluarga aku diami tu dibuat oleh kaum manusia, jadi sudah tentu bukan milik kaum mereka.

"Kamu hancurkan rumah kami. Kami lari ke rumah kamu", kata arwah ayah aku dengan nada garau dan kasar.

Pakcik aku menerangkan bahawa keluarga aku baru saja berpindah masuk. Macamana pula keluarga aku boleh hancurkan rumah dia.

Aku cuba ingat semula sepanjang kami dalam proses berpindah, tiada pula aku buang atau rosakkan apa-apa di sekitar rumah tu.

"Rumah kami hancur, kami lari ke rumah kamu", arwah ayah aku ulang pernyataan yang sama.

Pakcik aku menyuruh makhluk halus tu keluar dari rumah keluarga aku. Tapi mereka tidak mahu. Setelah hampir sejam, tiba-tiba arwah ayah aku rebah. Bila dia sedar, dia memang tak ingat apa-apa yang berlaku.

Pakcik aku cuba memanggil sekali lagi makhluk halus tadi. Tapi tiada respon. Yang ada cuma bunyi cakaran di tingkap kaca, dan periuk besi berlaga.

Kami semua tidak tidur sehingga ke subuh....

Hari Ahad

Pagi Ahad aku bangun agak lewat. Bila aku terjaga, aku lihat adik-adik aku masih tidur. Pakcik, arwah ayah, mak, kakak saudara & suami dia sedang sarapan di dapur.

Aku bingkas bangun dan membasuh muka, kemudian makan sarapan sekali.

Sambil-sambil makan, pakcik aku minta aku & arwah ayah aku untuk bertanya dengan penduduk yang menetap lama di kawasan situ, ada apa-apa yang berubah tidak dalam setahun dua.

Aku mengangguk faham...dalam kepala aku, masih memikirkan apa maksud makhlus halus tu yang kami hancurkan rumah dia..

Dalam tengahari, aku keluar berjalan-jalan di kawasan kuarters. Aku tinggal di Blok G, dan berjalan sehingga ke Blok A. Bila saja aku nampak ada budak-budak yang bermain di kawasan tu, aku bertanya pada mereka, dulu ada ke rumah lama, busut, atau apa-apa yang sudah dirobohkan? Tapi bila bertanya pada budak-budak, jawapan pun tak meyakinkan.

Disebabkan letih berjalan, aku singgah sebentar ke gerai roti canai di Blok D. Aku nampak ada satu meja plasti petak berwarna merah yang masih kosong. Aku duduk di atas kerusi plastik dan pesan air coke. Meja sebelah ada sekumpulan remaja sebaya dengan aku.

Sebaik saja nampak aku, mereka berkata, "budak hantu dah sampai", sambil gelak beramai-ramai. Aku dengar saja apa yang mereka cakap. Tak ambil peduli.

"Jangan dilayan monyet-monyet tu, buat sakit hati jer", kata abang Man sambil meletakkan tin air coke yang aku pesan tadi. Abang Man adalah tuan punya gerai roti canai. Tengok dari raut rupa, aku agak umur abang Man dalam awal 30an.

Aku senyum saja mendengar kata-kata abang Man. Malas aku nak melayan kata-kata orang. Mereka tak merasai apa yang aku dan keluarga aku sedang hadapi. Jadi senanglah untuk mereka memperlekehkan aku.

Sedang aku minum, abang Man datang duduk di kerusi sebelah aku.

"Sabar yer dik, abang tengok ramai keluarga yang keluar masuk dari rumah tu. Semua tak tahan", abang Man menepuk-nepuk bahu aku.

Aku segera tanya abang Man, berkenaan ada apa-apa yang berubah dalam setahun dua di kawasan Blok aku. Abang Man memberitahu yang tahun sebelum ada sebatang pokok besar dekat dengan Blok G. Betul-betul di pagar yang menghadap hutan.

Mendengar jawapan abang Man, aku segera habiskan minuman dan berjalan balik ke rumah. Aku memberitahu arwah ayah aku berkenaan pokok yang dikatakan abang Man. Kami berjalan menuju ke hujung Blok G. Boleh nampak dengan jelas tunggul pokok yang telah mati. Dari saiz tunggul pokok, boleh diagak besar pokok sebelum tu ditebang. Dari kata arwah ayah aku, lebih dari dua pemeluk. Mungkin pokok tu sudah lama wujud. Kemungkinan besar sudah berpuluh tahun.

Setelah berpuas hati melihat kawasan tunggul kayu tadi, aku & arwah ayah balik ke rumah. Nak bersiap untuk sesi berubat malam nanti.


Bersambung di Bahagian Ketiga


Authors get paid when people like you upvote their post.
If you enjoyed what you read here, create your account today and start earning FREE STEEM!
Sort Order:  

Cepat buat sambungan part 3 plzz..

Thank you for sharing your posts with us. This post was curated by TeamMalaysia as part of our community support. Looking forward for more posts from you.

To support the growth of TeamMalaysia Follow our upvotes by using steemauto.com and follow trail of @myach

Vote TeamMalaysia witness bitrocker2020 using this link vote bitrocker2020 witness

Wah.. Sioknya baca.